ETIKA KERJA DALAM ISLAM

KONSEP ETIKA

Konsep kerja menurut Islam adalah meliputi segala bidang ekonomi yang dibenarkan oleh syarak dan diperbolehkan menerima upah atau bayaran, sama ada kerja itu berjawatan tinggi atau rendah, berpangkat atau tidak, sama ada kerja itu bercorak jasmani (flzikal) seperti kerja buruh atau kontrak, perladangan atau pertanian, pertukangan atau kraf tangan dan sebagainya atau kerja bercorak aqli (mental) seperti jawatan pegawai di jabatan-jabatan, baik yang berupa perguruan, iktisas atau jawatan perkeranian dan teknikal dengan kerajaan atau swasta.

Terdapat penjelasan tentang konsep kerja dari keterangan hadis-hadis Rasulullah (s.a.w), Antara hadis-hadis tersebut ialah:

“Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri”. (Riwayat al-Bukhari)


Dengan usaha tersebut, makanya ianya membawa kepada satu perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju, dan terbaik kepada cemerlang.


Firman Allah berbunyi :-

            إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ
"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."                  
                                                                                                  Surah ar-Ra’d :11


Islam telah menggariskan beberapa panduan dan etika boleh menjamin kejayaan dan kecemerlangan sesebuah organisasi. Matlamat utama memperkenalkan etika ini adalah untuk menghasilkan bukan sahaja organisasi yang cemerlang tetapi juga ingin melahirkan manusia yang juga cemerlang dari segenap sudut malah selari dengan tuntutan kecemerlangan agama itu sendiri. Islam ingin melahirkan manusia yang seimbang dari segenap aspek kehidupan. Islam tidak hanya melahirkan manusia yang cemerlang dari sudut amalan agama sahaja tetapi juga ingin melahirkan kejayaan dalam kehidupan di dunia ini. Islam amat menentang tumpuan hanya kepada aspek tertentu dengan pengabaian kepada aspek yang lain. Ia perlu dilakukan secara beriringan.
Islam juga telah menggariskan etika kerja yang perlu dihayati oleh para penganutnya dalam aktiviti harian mereka. Etika kerja ini merupakan  salah satu aspek utama dalam sistem pengurusan islam.