ETIKA KERJA DALAM ISLAM

KEPENTINGAN ETIKA KERJA


Pekerjaan yang diterima sebagai suatu ibadah bukanlah pekerjaan yang dikerjakan dalam keadaan sambil lewa dan untuk mendapat keuntungan di dunia semata-mata tetapi sebaliknya melaksanakan kerja dengan bersungguh-sungguh, berjuang membangun dan mengusahakan kemakmuran dan kemajuan dengan matlamat untuk kepentingan dunia dan juga untuk keselamatan di akhirat. Setiap pekerjaan yang baik yang disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah serta dilakukan dengan bersih daripada sebarang kemungkaran dan tidak bercanggah dengan batas-batas hukum syarak adalah dikira ibadah yang akan mendapat ganjaran di sisi Allah. Setiap pekerjaan itu hendaklah dilihat dari sudut amanah yang pasti akan dipertanggungjawabkan oleh Allah swt di akhirat kelak, di mana kelalaian melaksanakan kerja yang baik akan mendatangkan penyesalan yang tidak berguna. Pekerja yang diterima pekerjaan mereka sebagai ibadah setelah memenuhi syarat-syaratnya dapat mempergunakan dunia ini sebagai sawah ladang untuk keselamatan di akhirat. Sebahagian daripada hasil pekerjaan yang telah dilakukan akan diterima di duna ini dan hasil sepenuhnya akan diterima di akhirat. Kekayaan sesuatu pekerjaan tidak hanya pada usaha seseorang tetapi juga pada keberkatan yang disertai dengan keredhaan Allah swt terhadap jenis pekerjaan dan cara ia dilaksanakan. Islam meletakkan taraf yang tinggi kepada pekerjaan. Melalui pekerjaan manusia dapat mengangkat darjat dirinya malah namanya turut dikenang ketika ketiadaannya nanti. Ini adalah kerana manusia lain dapat merasai nikmat dan kemudahan hidup hasil daripada pekerjaan orang yang telah tiada tadi.

Antara kepentingan etika dalam kerja ialah;

• Individu

Individu yang beretika mendapat kebaikan fizikal,ketenangan jiwa dan perasaan.Individu yang beretika juga dapat membina sahsiah diri ataupun keperibadian yang baik kerana beliau memelihara dirinya dengan sifat-sifat yang terpuji.Masyarakat mengiktirafnya sebagai orang yang berbudi tinggi.

• Keluarga

Etika memainkan peranan yang penting dalam pembentukan keluarga yang beretika.Ikatan yang erat berdasarkan etika kekeluargaan yang sedemikian dapat mewujudkan keharmonian.Oleh yang demikian,keamanan dan keakraban rumah tangga dapat menjamin keutuhan keluarga.

• Organisasi

Etika berperanan penting dalam menentukan kestabilan organisasi.Ia dapat memelihara nilai-nilai murni organisasi dengan sikap bertanggungjawab dan prihatin pada kebajikan masing-masing.Ia juga dapat memantapkan kestabilan,seterusnya mempertingkatkan produktiviti,meningkatkan kredibiliti dan reputasi serta menjamin perkembangan yang berterusan.

• Masyarakat


Kepentingan etika dalam sesebuah masyarakat tidak dapat dipertikaikan kerana ia dapat memelihara keamanan,keadilan dan kesejahteraan yang berterusan.Masyarakat yang beretika juga dapat membentuk persekitaran yang sihat dan menghindari masalah-masalah sosial seperti pembuangan bayi,rompakan,penyeludupan barangan haram dan seumpamanya.