ETIKA KERJA DALAM ISLAM

KONSEP ETIKA

Konsep kerja menurut Islam adalah meliputi segala bidang ekonomi yang dibenarkan oleh syarak dan diperbolehkan menerima upah atau bayaran, sama ada kerja itu berjawatan tinggi atau rendah, berpangkat atau tidak, sama ada kerja itu bercorak jasmani (flzikal) seperti kerja buruh atau kontrak, perladangan atau pertanian, pertukangan atau kraf tangan dan sebagainya atau kerja bercorak aqli (mental) seperti jawatan pegawai di jabatan-jabatan, baik yang berupa perguruan, iktisas atau jawatan perkeranian dan teknikal dengan kerajaan atau swasta.

Terdapat penjelasan tentang konsep kerja dari keterangan hadis-hadis Rasulullah (s.a.w), Antara hadis-hadis tersebut ialah:

“Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri”. (Riwayat al-Bukhari)


Dengan usaha tersebut, makanya ianya membawa kepada satu perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju, dan terbaik kepada cemerlang.


Firman Allah berbunyi :-

            إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ
"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."                  
                                                                                                  Surah ar-Ra’d :11


Islam telah menggariskan beberapa panduan dan etika boleh menjamin kejayaan dan kecemerlangan sesebuah organisasi. Matlamat utama memperkenalkan etika ini adalah untuk menghasilkan bukan sahaja organisasi yang cemerlang tetapi juga ingin melahirkan manusia yang juga cemerlang dari segenap sudut malah selari dengan tuntutan kecemerlangan agama itu sendiri. Islam ingin melahirkan manusia yang seimbang dari segenap aspek kehidupan. Islam tidak hanya melahirkan manusia yang cemerlang dari sudut amalan agama sahaja tetapi juga ingin melahirkan kejayaan dalam kehidupan di dunia ini. Islam amat menentang tumpuan hanya kepada aspek tertentu dengan pengabaian kepada aspek yang lain. Ia perlu dilakukan secara beriringan.
Islam juga telah menggariskan etika kerja yang perlu dihayati oleh para penganutnya dalam aktiviti harian mereka. Etika kerja ini merupakan  salah satu aspek utama dalam sistem pengurusan islam.

ETIKA KERJA MENURUT ISLAM

MENJELASKAN ETIKA KERJA ISLAM

 Dalam islam, etika atau moral ini mirip kepada konsep akhlak walaupun ianya berbeza dengan moral Barat. Hal ini kerana, akhlak dalam islam, dasarnya ditentukan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Ianya bersifat mutlak, menyeluruh dan mempunyai pertimbangan dosa dan pahala

Etika boleh diterjemahkan sebagai peraturan adat dan budi bahasa atau peraturan adat antara manusia dengan profesionnya. Secara mudahnya, etika bolehlah dianggap sebagai akhlak dalam Islam. Akhlak ialah budi pekerti, perangai, tingkahlaku atau tabiat seseorang. Oleh itu etika bolehlah diertikan sebagai tingkahlaku atau perlakuan manusia ke arah kebaikan dan kemanfaatan kehidupan.

Dengan itu etika menurut Islam adalah berbeza dengan etika yang difahami oleh pihak Barat. Islam menganggap kerja itu sebagai ibadah, oleh itu, tindakan yang akan dilakukan oleh para pekerja itu sentiasa selari dengan peraturan ibadah. Ini bermakna agama dan kehidupan tidak terpisah. Manakala etika Barat terhasil dari kajian dan pemerhatian akal mereka semata-mata tanpa panduan agama. Agama dan kehidupan pada mereka adalah dua dunia yang berbeza.

Islam benci kepada pengemis dan penganggur. Di samping itu seseorang pekerja
mestilah melaksanakan tugasnya dengan sebaik-baiknya kerana Allah telah menegaskan bahawa setiap pekerja itu berupaya dan mampu untuk menunaikan tanggungjawabnya. Samada seseorang pekerja itu dapat menunaikan tugasnya dengan baik atau tidak hanyalah bergantung kepada sikap pekerja itu sendiri. Seterusnya setiap kegiatan pekerja itu akan menerima ganjaran yang sewajarnya di akhirat nanti.

Berasaskan semuanya ini maka etika kerja dalam Islam adalah seperti :
1. Bekerja Dengan Azam Mengabdikan Diri Kepada Allah
2. Bekerja Dengan ikhlas Dan Amanah
3. Bekerja Dengan Tekun Dan Cekap
4. Bekerja Dengan Semangat Gotong-Royong Dan Berpadu Fikiran
5. Bekerja Dengan Matlamat Kebahagiaan Manusia Sejagat


1. Bekerja Dengan Azam Mengabdikan Diri Kepada Allah

Dengan menyedari dan menghayati bahawa manusia adalah hamba Allah, maka sewajarnyalah setiap
manusia mengabdikan dirinya kepada Allah, dengan mengikuti segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya selaras dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”. (Al-Baqarah : 21)

Selanjutnya, dikemukakan satu lagi firman Allah yang maksudnya adalah seperti berikut:
“Wahai orang-orang yang berilmu, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan
kepada orang yang berkuasa dari kalangan kamu.” (An-Nisaa’ : 59)
Ayat ini pula menyuruh kita taat bukan sahaja kepada Allah tetapi juga kepada Rasulullah S.A.W. dan kerajaan kerana kerajaan itulah yang dimaksudkan dengan ‘‘orang yang berkuasa dari kalangan kamu’’.

Bagi mentaati Allah dan Rasulullah S.A.W. maka setiap manusia hendaklah mempunyai kerja yang halal. Bagi mentaati kerajaan pula setiap pekerja awam hendaklah menjalankan tugasnya dengan sepenuh kesedaran bahawa jawatannya itu adalah amanah Allah kepadanya. Sekiranya ia tidak menunaikan tugasnya dengan sebaik-baiknya maka bererti pekerja tersebut telah pecah amanah kepada Allah.

Seterusnya seseorang pekerja hendaklah menyedari dan menghayati bahawa bekerja mencari nafkah yang dimulai dengan niat itu adalah ibadat. Bahkan Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud :
"Orang yang mencari penghidupan itu adalah kawan Tuhan". (Riwayat Al-Bukhari)

Dengan memahami maksud hadis ini dan menyedari bahawa bekerja itu bererti beribadat maka sewajarnyalah bagi setiap pekerja berusaha menunaikan tugasnya dengan sebaik-baiknya demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kelak.


2. Bekerja Dengan ikhlas Dan Amanah

Bekerja dengan ikhlas bererti bekerja dengan sepenuh kerelaan dan dengan suci hati untuk mencari keredhaan Allah. Setiap pekerja harus menyedari bahawa jawatan yang di pegangnya adalah hasil permohonannya sendiri dan buakanlah ia dipaksa memenuhi jawatan tersebut. Maka dengan sendirinya wajarlah seseorang pekerja itu menjalankan tugasnya dengan sepenuh kerelaan apalagi dengan kesedaran bahawa kerja yang dilaksanakan olehnya itu adalah suatu amal saleh dalam usahanya mengabdikan diri kepada Penciptanya di samping berusaha untuk menyara dirinya dan keluarganya yang dikasihi dan berkhidmat kepada masyarakat.

Seterusnya setiap insan mestilah bersyukur kepada Allah kerana rahmat-Nya kepada kita yang tidak terhitung banyak-nya dan satu daripadanya ialah yang kita sandangi ini. Kesyukuran kita seharusnya memuncak lagi sekiranya kita menginsafi bahawa banyak lagi manusia lain yang masih menganggur dan tidak dapat menyara keluarganya dengan sewajarnya. Kita juga hendaklah bersyukur kerana dengan jawatan atau kerja kita ini, kita dapat mengikut serta menyumbangkan tenaga di dalam usaha membangunkan negara kita yang tercinta. Moga-moga tercapailah cita-cita suci kita untuk membangunkan suatu negara yang direhdai Allah seperti firman-Nya:

“Negara yang makmur serta mendapat keampunan Tuhan” (Saba’: 15)
Sekiranya kita dapat menghayati dan mensyukuri segala rahmat Allah itu, insya Allah kita akan dapat menunaikan tugas kita dengan ikhlas. Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud :
‘Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia’. (Riwayat AlQuda’)

Selain dari itu kita semua menyedari bahawa sesuatu kerja atau jawatan adalah hasil daripada perjanjian yang disetujui bersama di antara pekerja dengan majikan. Pekerja berjanji akan menunaikan tugasnya dan majikan pula berjanji akan membayar gaji yang tertentu setiap bulan. Oleh demikian sewajarnyalah kedua-dua pihak iaitu pekerja dan majikan memenuhi perjanjian tersebut. Sekiranya seseorang pekerja itu tidak menunaikan tugasnya dengan sewajarnya tetapi sanggup menerima gajinya dengan sepenuhnya maka pekerja tersebut bolehlah dianggap sebagai seorang yang menipu dan telah memecahkan janjinya.Dengan sendirinya pekerja itu telah mengingkari perintah Allah kerana Allah telah berfirman dengan maksudnya :
“Wahai orang yang beriman, sempurnakanlah janjimu”. (Al-Maidah : 1)

Hadith Rasulullah S.A.W. juga menegaskan dengan maksud:
“Sesiapa menipu, bukanlah ia dari golongan kami”. (Riwayat Muslim)

Pepatah melayu pula mengatakan : 
“Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya”.
Pepatah ini membayangkan bahawa manusia yang menipu itu adalah lebih hina daripada kerbau.


3. Bekerja Dengan Tekun Dan Cekap

Ketekunan adalah suatu sifat yang amat diperlukan oleh seseorang pekerja. Setiap pekerja akan dapat meningkatkan kecekapan masing-masing menjalankan tugas sekiranya mereka tekun, insya Allah.
Rasulullah S.A.W. bersabda dengan maksud:
“Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun”. (Riwayat Al-Baihaqi)

Pepatah Melayu pula mengatakan : “Belakang parang pun kalaulah diasah, nescaya menjadi tajam”.
Pepatah ini menunjukkan bahawa dengan ketekunan, sesuatu kerja yang susah itu akan dapat diatasi insya Allah dan dengan sendirinya meningkatkan kecekapan seseorang pekerja itu. Apabila kita hendak menilai seseorang pekerja, ciri yang terpenting ialah kecekapannya. Mutu kecekapan seseorang itu akan terus meningkat jika pekerja itu sanggup belajar atau menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan tugasnya terus menerus. Ajaran Islam ada menegaskan: “Tuntutan ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad”. Di dalam bidang sains dan teknologi khususnya, menuntut ilmu sepanjang hayat menjadi suatu perkara yang penting sekiranya kita tidak mahu ketinggalan zaman, kerana terlalu pesatnya perkembangan ilmu pengetahuan di dalam kedua-dua bidang itu.

Selain dari itu hadith Rasulullah S.A.W. menyatakan, berkaitan dengan pekerja dengan maksud seperti berikut:
“Apabila sesuatu urusan (pekerjaan) diberikan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah kehancuran.”
Hadith ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya keahlian ataupun kecekapan seseorang pekerja menurut pandangan Islam. Sekiranya kecekapan seseorang pekerja itu meningkat maka dengan sendirinya hasil kerjanya juga turut meningkat.


4. Bekerja Dengan Semangat Gotong-Royong Dan Berpadu Fikiran

Di dalam perkhidmatan awam bahkan di dalam sebarang perkhidmatan, seseorang pekerja itu bertugas dengan suatu kumpulan pekerja yang tertentu. Dengan sendirinya untuk menghasilkan perkhidmatan yang cemerlang sesuatu kumpulan pekerja itu mestilah bekerjasama, bergotong-royong melaksanakan tugas masing-masing. Sikap bantu membantu di antara satu sama lain di antara pekerja, akan menimbulkan suasana bekerja yang aman dan gembira. Suasana yang demikian pula akan meningkatkan hasil dan mutu perkhidmatan setiap pekerja. Firman Allah juga menegaskan dengan maksud:
“Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan… (Al-Ma’idah : 2)
Semangat bergotong-royong adalah suatu ciri kebudayaan negara ini yang semestinya dipupuk terus dan disuburkan semula. Bagai kata pepatah kita : “Bukit sama didaki, lurah sama dituruni”.

Di samping kita bergotong-royong menjalankan tugas, kita juga hendaklah menggalakkan perbincangan sesama sendiri, bertukar fikiran, untuk mengkaji masalah yang ada dan juga untuk menghadapi masalah yang mungkin timbul. Perbincangan seperti ini akan meningkatkan rasa kekitaan di antara pekerja dan dengan sendirinya pula meningkatkan rasa tanggungjawab bersama terhadap sebarang kegiatan kumpulan pekerja yang berkenaan. Rasa keenakan berpadu tenaga dan berpadu fikiran ini telah dinikmati oleh datuk nenek kita dahulu dan rasa indah itu telah diabadikan oleh mereka dengan pepatah:
“Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.
“Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”.


5. Bekerja Dengan Matlamat Kebahagiaan Manusia Sejagat

Islam adalah agama untuk manusia sejagat. Dengan itu ajaran Islam (berpunca daripada Al-Quran dan hadis) juga adalah untuk manusia seluruhnya. Maka etika kerja kelima ini adalah wajar, kerana maju mundurnya pembangunan negara Malaysia ini akan memberi kesan jua kepada negara lain di dunia. Namun demikian patut dikemukakan di sini firman Allah yang bermaksud :
‘Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)’. (Al-Baqarah : 256)

Juga firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan". (Al-Maidah : 8)
Ayat yang pertama di atas ini menjelaskan bahawa walaupun Islam itu ialah agama untuk semua manusia tetapi orang yang tidak menganuti Islam tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam. Ayat yang kedua pula melarang kita daripada berlaku tidak adil terhadap sesuatu kaum walaupun kita benci kepada kaum tersebut. Kedua-dua ayat tersebut memberi pengertian bahawa setiap pekerja hendaklah memberi layanan dan khidmat yang sama kepada semua orang tanpa mengira kaum ataupun agama orang yang berkaitan, menurut ajaran Islam.

Di samping itu, sewajarnya kita berusaha menurut ajaran hadith yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang tiada menyukar-nyukarkan pekerjaan dan yang jernih
mukannya dalam menghadapi manusia." (Riwayat Al-Baihaqi) 


KEPENTINGAN ETIKA KERJA


Pekerjaan yang diterima sebagai suatu ibadah bukanlah pekerjaan yang dikerjakan dalam keadaan sambil lewa dan untuk mendapat keuntungan di dunia semata-mata tetapi sebaliknya melaksanakan kerja dengan bersungguh-sungguh, berjuang membangun dan mengusahakan kemakmuran dan kemajuan dengan matlamat untuk kepentingan dunia dan juga untuk keselamatan di akhirat. Setiap pekerjaan yang baik yang disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah serta dilakukan dengan bersih daripada sebarang kemungkaran dan tidak bercanggah dengan batas-batas hukum syarak adalah dikira ibadah yang akan mendapat ganjaran di sisi Allah. Setiap pekerjaan itu hendaklah dilihat dari sudut amanah yang pasti akan dipertanggungjawabkan oleh Allah swt di akhirat kelak, di mana kelalaian melaksanakan kerja yang baik akan mendatangkan penyesalan yang tidak berguna. Pekerja yang diterima pekerjaan mereka sebagai ibadah setelah memenuhi syarat-syaratnya dapat mempergunakan dunia ini sebagai sawah ladang untuk keselamatan di akhirat. Sebahagian daripada hasil pekerjaan yang telah dilakukan akan diterima di duna ini dan hasil sepenuhnya akan diterima di akhirat. Kekayaan sesuatu pekerjaan tidak hanya pada usaha seseorang tetapi juga pada keberkatan yang disertai dengan keredhaan Allah swt terhadap jenis pekerjaan dan cara ia dilaksanakan. Islam meletakkan taraf yang tinggi kepada pekerjaan. Melalui pekerjaan manusia dapat mengangkat darjat dirinya malah namanya turut dikenang ketika ketiadaannya nanti. Ini adalah kerana manusia lain dapat merasai nikmat dan kemudahan hidup hasil daripada pekerjaan orang yang telah tiada tadi.

Antara kepentingan etika dalam kerja ialah;

• Individu

Individu yang beretika mendapat kebaikan fizikal,ketenangan jiwa dan perasaan.Individu yang beretika juga dapat membina sahsiah diri ataupun keperibadian yang baik kerana beliau memelihara dirinya dengan sifat-sifat yang terpuji.Masyarakat mengiktirafnya sebagai orang yang berbudi tinggi.

• Keluarga

Etika memainkan peranan yang penting dalam pembentukan keluarga yang beretika.Ikatan yang erat berdasarkan etika kekeluargaan yang sedemikian dapat mewujudkan keharmonian.Oleh yang demikian,keamanan dan keakraban rumah tangga dapat menjamin keutuhan keluarga.

• Organisasi

Etika berperanan penting dalam menentukan kestabilan organisasi.Ia dapat memelihara nilai-nilai murni organisasi dengan sikap bertanggungjawab dan prihatin pada kebajikan masing-masing.Ia juga dapat memantapkan kestabilan,seterusnya mempertingkatkan produktiviti,meningkatkan kredibiliti dan reputasi serta menjamin perkembangan yang berterusan.

• Masyarakat


Kepentingan etika dalam sesebuah masyarakat tidak dapat dipertikaikan kerana ia dapat memelihara keamanan,keadilan dan kesejahteraan yang berterusan.Masyarakat yang beretika juga dapat membentuk persekitaran yang sihat dan menghindari masalah-masalah sosial seperti pembuangan bayi,rompakan,penyeludupan barangan haram dan seumpamanya.



KESIMPULAN

Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia sudah semestinya berusaha untuk terus meningkatkan usaha menerapkan nilai-nilai murni di dalam setiap bidang pekerjaan. Setiap individu yang bekerja, hendaklah sentiasa sedar dan berusaha untuk menunaikan tugas mereka menurut ajaran Islam, ajaran yang mementingkan kebahagiaan umat manusia sejagat.

Hadis yang mengenai etika kerja dalam islam :




RUJUKAN


BUKU
- Pengurusan dalam Islam (Norshahiza Mohd Isa)


INTERNET
- https://pintania.wordpress.com/etos-kerja-dalam-islam/


GOOGLE IMAGE